VIENTIANE, 28 JUN – Perjuangan menangani virus demam denggi di Laos terus berlanjutan dengan angka kes terus mencatat peningkatan.
Menurut laporan yang dikeluarkan Pusat Informasi dan Pendidikan untuk Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Laos hari ini, kes demam denggi di Laos telah meningkat kepada 6,488 kes dengan satu kematian sejak Januari, lapor Xinhua.
Angka kes demam denggi tertinggi dilaporkan di wilayah Oudomxay dengan 1,396 kes, sementara 1,016 kes dikesan di wilayah Khammuan dan 552 kes lagi di wilayah Xayaboury.
Pihak berkuasa kesihatan terus menggalakkan penduduk untuk membersihkan tempat pembiakan nyamuk di sekitar rumah dan tempat kerja mereka untuk mengawal penyebaran demam denggi.
Kementerian turut menasihatkan individu yang mengalami demam panas, sakit kepala atau sakit otot untuk mengunjungi hospital bagi mendapatkan nasihat dan rawatan.
Laos berjaya mengurangkan kadar kematian akibat demam denggi dalam beberapa tahun lalu melalui peningkatan diagnosis dan rawatan penyakit di hospital dan klinik.- Bernama
