Sunday, October 20, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes demam denggi meningkat 2.6 peratus

    KUALA LUMPUR, 20 APRIL – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) ke-15 tahun ini iaitu dari 9 hingga 15 April meningkat sebanyak 60 kes atau 2.6 peratus kepada 2,399 kes berbanding 2,339 kes minggu sebelumnya.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dalam kenyataan hari ini berkata satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan dalam tempoh tersebut.

    Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 33,325 kes berbanding 10,954 kes bagi tempoh sama pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 204.2 peratus.

    “Sebanyak 21 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan sehingga kini berbanding lima kematian bagi tempoh yang sama pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 16 kematian,” katanya.

    Selain itu, lokaliti hotspot kes demam denggi meningkat kepada 109 berbanding 93 minggu sebelumnya, dengan 59 daripadanya berada di Selangor, Pulau Pinang (25), Sabah (10), Kuala Lumpur dan Putrajaya (enam), Kedah (empat), Perak (tiga), serta masing-masing satu di Sarawak dan Labuan.

    Sementara itu, menurut Dr Norhayati survelan Chikungunya pula merekodkan sebanyak tiga kes pada ME ke-15 dengan kesemuanya di Selangor, manakala jumlah kumulatif kes Chikungunya adalah 117 kes.

    Beliau berkata, sebanyak 795 sampel darah serta empat sampel urin telah dijalankan saringan Zika dan kesemuanya adalah negatif.

    Dr Norhayati mengingatkan orang ramai agar memastikan kawasan rumah bebas dari bekas-bekas yang boleh menakung air dan menjadi tempat nyamuk Aedes membiak semasa cuti panjang sempena Aidilfitri. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda