PUTRAJAYA, 31 MAC – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-12 2023 iaitu dari 19 hingga 25 Mac, meningkat 14.8 peratus kepada 2,469 kes berbanding 2,151 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kematian dilaporkan pada minggu tersebut.
Beliau berkata kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 26,222 kes berbanding 8,124 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu meningkat 18,098 kes atau 222.8 peratus, manakala sebanyak 17 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding empat kematian bagi tempoh sama.
“Sebanyak 81 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 91 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 52 lokaliti hotspot di Selangor, 15 di Pulau Pinang, enam di Sabah, empat di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Perak dan satu di Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata survelan chikungunya pula merekodkan sebanyak satu kes pada ME12 dengan jumlah kumulatif sehingga kini adalah sebanyak 107 kes. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P9-3a-DENGGI_01042023.jpg)