SINGAPURA, 9 JUN – Jumlah kes denggi di Singapura telah menurun dengan ketara pada tahun ini dan mencatatkan hanya sekitar satu perempat daripada jumlah kes yang direkodkan dalam separuh pertama tahun lepas.
Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) telah mencatatkan terdapat sebanyak 2,219 kes dari Januari hingga 5 Jun, berbanding 10,000 kes dalam tempoh enam bulan pertama 2024.
Agensi itu turut mengaitkan penurunan tersebut sebahagiannya disebabkan oleh inovasi seperti Projek Wolbachia, sebuah inisiatif yang dijalankan bagi mengawal populasi nyamuk Aedes aegypti melalui pelepasan nyamuk jantan yang telah dibiakkan di makmal.
Namun, para pakar berpendapat masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada langkah tersebut masih mampu untuk mengekang wabak denggi pada masa hadapan.
Di bawah Projek Wolbachia, nyamuk jantan yang dijangkiti bakteria Wolbachia iaitu sejenis bakteria semula jadi yang biasa ditemui, telah dilepaskan di kawasan yang berisiko tinggi dijangkiti denggi.

Inisiatif itu merangkumi 23 kawasan di Singapura, termasuk Bukit Batok, Tampines serta Serangoon dan menyasarkan dapat melindungi 800,000 isi rumah, kira-kira separuh daripada keseluruhan isi rumah menjelang tahun hadapan.
Kajian menunjukkan penduduk di kawasan itu mempunyai 75 peratus kurang berisiko dijangkiti denggi, dengan populasi nyamuk Aedes aegypti menurun antara 80 hingga 90 peratus.
Seorang profesor dari Sekolah Perubatan Duke-NUS, Ooi Eng Eong, menyifatkan penambahan Projek Wolbachia dalam program kawalan vektor Singapura sejak 2016 sebagai satu ‘perkembangan positif’ dan menyatakan penurunan jumlah kes pada 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024 adalah ‘berita baik’.
Tambahnya, epidemik denggi tidak berlaku setiap tahun, tetapi dalam kitaran lima hingga lapan tahun dan perubahan dalam jumlah populasi nyamuk menjadi salah satu sebab berlakunya kitaran tersebut.
Pada Mei lalu, NEA memberi amaran, meskipun jumlah kes pada tahun ini adalah dalam kadar rendah setakat ini, tetapi tahap imuniti penduduk yang rendah serta peningkatan kes secara global boleh menyebabkan peningkatan semula kes denggi.
Agensi itu turut memaklumkan tempoh Mei hingga Oktober secara lazimnya akan mengalami peningkatan dalam penularan kes denggi di Singapura disebabkan perkembangan pantas nyamuk Aedes serta penyebaran virus yang lebih cepat dalam nyamuk. – ANN/The Strait Times

