PHNOM PENH, 31 MEI – Kes demam denggi meningkat hampir 3,000 kes dalam tempoh 20 minggu pertama 2024 jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu. Vaksin yang diiktiraf terhadap penyakit itu masih tidak tersedia di Kemboja.
“Sebanyak 5,695 kes direkodkan dalam tempoh 20 minggu pertama tahun ini, tetapi hanya tiga peratus daripadanya serius,” kata pengarah Program Kawalan Denggi Kebangsaan (NDCP), Leang Rithea.
Ia mewakili lonjakan lebih 2,987 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas, apabila hanya 2,708 kes direkodkan, tambahnya.
Lebih 30,000 kes demam denggi direkodkan tahun lepas, peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun penyakit itu masih dianggap masih terkawal.
Vaksin belum tersedia untuk kegunaan rasmi, walaupun jenama yang dipanggil Qdenga telah dipromosikan dalam talian. Kementerian Kesihatan Kemboja mengeluarkan amaran kepada orang ramai awal tahun ini, dengan menyatakan bahawa ia masih belum diluluskan oleh WHO.
“Pada masa ini, Kemboja tidak mempunyai vaksin terhadap demam denggi,” tambah Rithea.
Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Preah Vihear dan penasihat kepada kementerian kesihatan, Kuong Lo, menyatakan bahawa NCDP telah meramalkan bahawa pada 2024, akan terdapat lebih banyak kes denggi berbanding tahun lepas. Ia meramalkan lebih 40,000 kes untuk 2024.
“Ini bermakna kes akan meningkat lebih 10,000 kes pada 2024. Ini adalah sebahagian daripada kitaran penyakit itu, yang tidak berkaitan dengan kedatangan awal atau lewat musim hujan. Tahun ini, hujan akan datang kemudian,” jelasnya. – ANN/ The Phnom Penh Post
