MOGADISHU, 20 OGOS – Kes penyakit difteria yang membawa maut meningkat dengan pesat di seluruh Somalia, pegawai dan anggota kemanusiaan memberi amaran kelmarin, dengan kanak-kanak menyumbang lebih daripada 97 peratus kes.
Difteria, penyakit bawaan bakteria mudah merebak dan membawa maut yang kebanyakannya menyerang kanak-kanak, boleh dicegah dengan vaksin.
Walaupun Somalia telah meningkatkan kadar vaksinasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, badan amal perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menyalahkan peningkatan mendadak ke atas jurang imunisasi berterusan di negara miskin yang lama dibelenggu konflik.
“Jumlah kes kanak-kanak yang direkodkan menghidap difteria telah meningkat di seluruh wilayah negara ini,” kata Pengarah Hospital Awam Demartino di Mogadishu, Abdulrazaq Yusuf Ahmed.
“Kami menerima kira-kira 49 pesakit sepanjang 2024 tetapi tahun ini kami telah menerima 497 kes difteria dalam tempoh empat bulan lalu sahaja,” katanya.
Kematian meningkat daripada 13 kepada 42, dengan lebih ramai pesakit wanita dimasukkan berbanding lelaki, menurut laporan oleh hospital Ahmed awal bulan ini.
Laporan dari hospital rujukan kebangsaan utama menggambarkan peningkatan semula sebagai salah satu ancaman paling mendesak dan berbahaya kepada kesihatan awam.
Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan berkata ia telah merekodkan 1,616 kes dan 87 kematian akibat penyakit itu setakat tahun ini. – AFP


