Oleh Salawati Haji Yahya & Nurdiyanah R
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Peralihan ke fasa endemik sepenuhnya memerlukan pemantauan berterusan dan penelitian terhadap jumlah kes yang dicatatkan serta kadar vaksinasi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan perkara itu semasa menjawab persoalan bilakah negara akan beralih ke fasa endemik sepenuhnya pada sidang media harian COVID di Kementerian Kesihatan hari ini.
Menurutnya, jumlah kes sejak beberapa hari kebelakangan ini dilihat menurun berbanding sebelumnya, antara 150 sehingga 200 kes, namun ia masih dilihat tinggi dan pemantauan jumlah kes masih lagi diteruskan.
Bagi beralih ke fasa endemik sepenuhnya, ia tertakluk kepada kes harian dan jika jumlah kes terus menurun, mungkin kita akan melonggarkan sekatan, jelasnya.
Manakala ketika menyentuh mengenai pembukaan semula sempadan darat dan laut, ia juga perlukan pemantauan terhadap jumlah kes, selain memastikan keadaan situasi penularan dalam negara stabil sebelum beralih ke langkah seterusnya.
Ketika mengulas penetapan peraturan bagi perjalanan keluar negara penjawat awam, sama ada untuk tujuan cuti persendirian mahupun semasa cuti awam, mereka mestilah memohon kebenaran daripada ketua bahagian atau jabatan masing-masing.