Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes HFMD di seluruh Malaysia meningkat 266 peratus

    PUTRAJAYA, 12 MEI – Sebanyak 99,601 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah dilaporkan di seluruh Malaysia tahun ini sehingga minggu epidemiologi (ME) ke-17 berakhir 26 April lepas, meningkat  sebanyak 266 peratus berbanding 27,236 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

    Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 10,421 kes atau 10 peratus adalah berkaitan wabak.

    Manakala 89,180 kes lagi berlaku secara sporadik.

    “Lima negeri mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Selangor 27.2 peratus, diikuti Johor 9.9 peratus, Perak 9.4 peratus, Kelantan 7.2 peratus serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6.9 peratus.

    “Secara kumulatif, terdapat 2,649 wabak berbanding 1,339 wabak bagi tempoh yang sama pada 2024 iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus.

    Malaysia mencatatkan peningkatan 266 peratus kes HFMD. – Bernama

    “Daripada keseluruhan wabak ini, sebanyak 578 berlaku di taska 22 peratus, 480 di tadika 18 peratus, 292 di tabika 11 peratus dan 251 di prasekolah sembilan peratus,” menurut kenyataan itu.

    KKM memaklumkan seba-nyak 38,285 premis diperiksa di seluruh Malaysia melibatkan taska, tadika, tabika, prasekolah serta rumah kediaman dan sebanyak 1,140 premis diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala 430 premis ditutup secara sukarela.  

    “Setakat ini, tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan,” menurut kenyataan itu dan memaklumkan sebanyak 220 sesi libat urus dan taklimat telah dilaksanakan di seluruh negara oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk memberi pendidikan kesihatan bagi membendung penularan HFMD.

    KKM dalam pada itu me-nyarankan ibu bapa dan penjaga untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, serta memastikan alat permainan, bilik air dan barangan yang kerap disentuh kanak-kanak dibersihkan secara berkala bagi membendung penularan HFMD.

    “Barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda