BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Kementerian Kesihatan telah melaporkan peningkatan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam tempoh beberapa minggu iaitu sebanyak 319 kes bagi tempoh 1 hingga 26 Januari 2019.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, kelmarin, jumlah berkenaan telah melebihi jumlah purata tiga tahun kebelakangan (2016-2018) dalam tempoh yang sama iaitu sebanyak 140 kes sahaja.
Sebanyak 80 peratus daripada semua kes yang telah dilaporkan adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah. Sejauh ini tidak ada kes kematian dicatatkan akibat penyakit HFMD di Negara Brunei Darussalam.
Kenyataan menjelaskan, HFMD merupakan salah satu jangkitan yang biasa dihidap oleh kanak-kanak, terutama sekali yang berumur di bawah lima tahun.
Tanda-tanda penyakit termasuklah demam panas, kurang nafsu makan, merasa tidak sihat, ruam kulit dan sakit tekak. Luka-luka dan ulser dalam mulut iaitu pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi juga kerap dialami.
Jangkitan ini adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus yang boleh merebak dari seorang ke seorang melalui sentuhan tangan atau menyentuh permukaan yang dicemari virus berkenaan. Anak-anak damit mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti oleh virus-virus tersebut yang boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti penyakit radang otak (encephalitis) dan dehidrasi.
Sebagai langkah waspada dan berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah kewaspadaan, pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan HFMD.
Antara langkah-langkah yang dikongsikan adalah sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan air yang bersih dan menggunakan cecair pembersih tangan atau sabun selepas menggunakan tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, selepas menukar lampin atau apa jua jenis pekerjaan rumah.
Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran termasuk di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak dan sekolah serta tidak menghantar kanak-kanak yang dijangkiti HFMD ke sekolah bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain. Mereka juga dinasihatkan untuk tidak dibawa ataupun pergi ke tempat-tempat awam seperti pasar raya, kompleks membeli belah, taman permainan, kolam renang dan lain-lain.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya membersihkan dan menyahkumankan (disinfect) permukaan yang tercemar termasuk alat permainan. Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menasihatkan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak untuk membawa anak-anak mereka dengan segera ke pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital yang berhampiran jika terdapat tanda-tanda HFMD.
Untuk maklumat lanjut mengenai dengan penyakit berkenaan, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123, melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau melalui Facebook/Instagram @MOHBrunei.