BANGKOK, 14 JAN – Seorang lelaki warga Thailand yang sedang menjalani hukuman penjara kerana menghina institusi diraja kini berdepan tiga lagi pertuduhan baharu, kata sebuah kumpulan hak asasi kepada AFP hari ini.
Tahun lalu, Mongkol Thirakot, 31, dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya 50 tahun atas kesalahan menghina raja berhubung hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya beberapa tahun lalu.
Hukuman itu dilaksanakan selepas Thailand meningkatkan penguatkuasaan undang-undang lese-majeste terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi, yang menurut pengkritik ia bertujuan untuk menyekat kebebasan suara daripada mereka yang tidak sehaluan.
“Polis sudah mendakwanya dengan tiga lagi pertuduhan menghina raja atas tiga hantaran Facebook pada tahun 2022,” kata Noppol Achamas dari Lawyers for Human Rights Thailand (TLHR).
Beliau memberitahu AFP bahawa Mongkol kini berdepan sekurang-kurangnya sembilan tahun lagi hukuman penjara. Undang-undang lese-majeste, yang melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan ahli kerabat daripada dikritik, sering dirujuk sebagai Seksyen 112 Kanun Keseksaan di Thailand.
Ketika Mongkol dijatuhi hukuman pada Januari tahun lalu, TLHR menyatakan bahawa ia adalah hukuman penjara terpanjang yang pernah dijatuhkan atas kesalahan menghina raja, mengatasi rekod terdahulu selama 43 tahun yang dikenakan ke atas seorang wanita pada 2021.
Mongkol, yang memiliki sebuah kedai pakaian dalam talian di utara Thailand, kini ditahan di Penjara Pusat Chiang Rai.
Menurut TLHR, Mongkol juga dikatakan sudah memfailkan rayuan ke Mahkamah Agung berhubung hukuman terdahulu.
“Lebih daripada 250 aktivis didakwa di bawah undang-undang lese-majeste sejak gerakan protes pada 2020 bermula,” katanya. – AFP