MANILA, 3 JUN – Pihak berkuasa kesihatan Filipina hari ini memberi amaran mengenai kemungkinan ‘kecemasan kesihatan awam’ berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan HIV tahun ini, dengan golongan remaja lelaki paling terkesan.
Menurut data Jabatan Kesihatan, purata 57 kes baharu dicatatkan setiap hari dalam tempoh tiga bulan pertama 2025, peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu. Filipina kini mempunyai 117 juta penduduk.
Setiausaha Kesihatan, Ted Herbosa, dalam satu mesej video yang dikeluarkan hari ini berkata, “Kita kini mencatat jumlah kes baharu tertinggi di rantau Pasifik Barat. Apa yang membimbangkan ialah ramai daripada kes baharu melibatkan golongan muda.”
Menurutnya lagi, “Adalah wajar untuk kita isytihar darurat kesihatan awam atau darurat kebangsaan berkaitan HIV supaya seluruh masyarakat dan agensi kerajaan dapat digerakkan dalam kempen menurunkan jumlah jangkitan baharu HIV.”

Jabatan Kesihatan turut memaklumkan bahawa 95 peratus kes baharu yang dilaporkan melibatkan lelaki, dengan 33 peratus berumur antara 15 hingga 24 tahun, manakala 47 peratus berumur antara 25 hingga 34 tahun.
Kerajaan bagaimanapun tidak memberikan penjelasan lanjut berhubung punca lonjakan kes ini, namun menyatakan peningkatan itu telah menjejaskan usaha negara untuk mencapai sasaran global yang ditetapkan dalam kempen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menghapuskan wabak AIDS menjelang 2030.
Di bawah undang-undang Filipina, Presiden boleh mengisytiharkan kecemasan kesihatan sekiranya sesuatu wabak dianggap mengancam keselamatan negara. Kali terakhir tindakan ini diambil adalah semasa permulaan pandemik COVID-19 pada 2020.
Menurut Jabatan Kesihatan, hanya 55 peratus individu yang hidup dengan HIV di Filipina telah didiagnosis, manakala hanya 66 peratus daripada mereka yang didiagnosis menerima rawatan antiretroviral yang menyelamatkan nyawa. – AFP