JAKARTA, 7 JAN – Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin, hari ini mengumumkan bahawa negara itu telah mengesan jangkitan virus pernafasan hMPV (Human Metapneumovirus), namun memberi jaminan bahawa penyakit tersebut tidak membahayakan.
“Laporan kami menunjukkan beberapa kanak-kanak telah dijangkiti. Kami sedang memantau keadaan ini dengan teliti. Namun, ini bukan penyakit baharu; ia telah wujud di Indonesia sejak 2001 dan kami tidak mengesan sebarang kesan serius akibat virus ini,” kata Sadikin dalam kenyataan bertulis yang diterbitkan di laman web rasmi kementerian.
Beliau menjelaskan bahawa simptom hMPV adalah serupa dengan selesema biasa dan menasihatkan orang ramai untuk mengekalkan persekitaran yang sihat dan bersih.
“Sesiapa sahaja boleh dijangkiti selesema jika sistem imun mereka lemah. Walau bagaimanapun, tubuh kita mampu mengatasi virus ini.
“Kita perlu memastikan sistem imun kita kekal kuat dengan mendapatkan rehat yang mencukupi dan melakukan senaman fizikal secara berkala,” tambah beliau. – Xinhua