Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Pada masa ini trend jangkitan kes influenza-like illness (ILI) dan kes COVID-19, masih menunjukkan peningkatan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, keadaan jangkitan ILI dan COVID-19 adalah terkawal dan tidak membebankan perkhidmatan kesihatan di negara ini. Kementerian Kesihatan juga menyatakan bahawa setakat 10 Disember, lapan kes dikategorikan dalam Kategori 4 dan sedang menjalani pemantauan di hospital, tidak ada kes di dalam Kategori 5 serta memerlukan rawatan penjagaan intensif.
Majoriti kes-kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada masa ini, adalah daripada varian Omicron dan subvariannya.
Kementerian Kesihatan menyatakan lanjut bahawa sama seperti jangkitan ILI yang mana pada lazimnya akan meningkat secara bermusim, peningkatan jangkitan COVID-19 juga didapati bermusim.
Di samping itu, kekebalan imuniti yang diperoleh melalui vaksinasi juga menurun dan menyebabkan lebih mudah dijangkiti virus SARS-CoV-2 semula.

Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dengan mengamalkan kebersihan diri, etika batuk dan bersin yang betul, memakai pelitup muka jika mengalami tanda-tanda jangkitan dan tidak menghadirkan diri ke tempat-tempat awam dan majlis-majlis keramaian.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan vaksinasi flu atau COVID-19 yang dilengkapi dengan dos penggalak khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, penghidap penyakit kronik dan ibu-ibu yang mengandung.
Sementara itu, orang ramai yang telah mendapatkan dos terakhir COVID-19 lebih daripada enam bulan adalah juga digalakkan untuk mendapatkan dos penggalak COVID-19. Mereka turut dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan doktor dengan segera jika mengalami tanda-tanda jangkitan yang berpanjangan atau menjadi semakin teruk serta memakai pelitup muka apabila pergi untuk mendapatkan rawatan terutamanya di Klinik Flu dan Jabatan Kemalangan dan Kecemasan serta jika melawat pesakit-pesakit di wad-wad.
Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan apa jua perkembangan mengenainya dari semasa ke semasa.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Talian Darussalam 123 ataupun melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan.

