Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Negara masih menghadapi jumlah kes harian jangkitan COVID yang tidak menentu pada masa ini, namun masih di tahap yang terkawal di mana tiada peningkatan kes dalam kategori 4 dan 5 dilaporkan setakat ini.
“Jumlah kes positif ini akan mengalami kadar turun dan naik dan ia hanyalah untuk pemantauan harian kita bersama. Apa yang penting tahap 4 dan 5 masih terkawal dan juga tidak menjejaskan perlindungan kesihatan,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas kadar kenaikan jumlah kes pada hari ini yang mencecah lebih 300 kes semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, petang tadi.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato menyarankan seluruh lapisan masyarakat agar tidak begitu risau mengenai kadar statistik harian dan ditekankan juga agar tetap sentiasa menjalankan tanggungjawab sosial dalam sama-sama menempuhi krisis kesihatan dengan sebaik-nya lebih-lebih lagi pada saat negara bakal menamatkan Fasa Awal Endemik.