LONDON, 5 FEB – Kes seorang jururawat Britain yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh tujuh anak damit yang baharu lahir sedang disemak oleh sebuah suruhanjaya bebas kerana pakar perubatan, kelmarin, berhujah tiada bukti untuk menyokong sabitan kesalahan membunuh.
Lucy Letby sedang menjalani 15 hukuman seumur hidup kerana kematian anak damit di unit neonatal di barat laut England tempat dia bekerja antara 2015 dan 2016, dalam kes yang mengejutkan negara itu.
Letby disabitkan kesalahan membunuh tujuh anak damit yang baharu lahir dan cuba membunuh tujuh yang lain di Hospital Countess of Chester, menjadikannya pembunuh bersiri kanak-kanak paling prolifik dalam sejarah British moden.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/4D-web-scaled.jpg)
Bagaimanapun, pasukan pembelanya kelmarin memohon kepada Suruhanjaya Semakan Kes Jenayah (CCRC) bebas untuk menyiasat mungkin terdapat penyelewengan dalam dua perbicaraan beliau pada 2023 dan 2024.
Letby, 35, yang mempertahankan dirinya tidak bersalah, dituduh menyerang anak damit itu dengan pelbagai cara.
Ia termasuk menyuntik udara ke dalam aliran darah mereka yang menyebabkan embolisme udara menghalang bekalan darah, yang membawa kepada kematian secara tiba-tiba dan tidak dijangka.
Bagaimanapun, seorang doktor Kanada, Shoo Lee, yang telah bersara dan mengarang bersama kertas akademik 1989 mengenai embolisme udara pada anak damit yang dipaparkan dalam perbicaraan 10 bulan Letby, berkata pada sidang media, kelmarin, Letby telah menggunakan pelbagai cara untuk menentang tuduhan itu namun masih terdapat bukti yang salah.
“Bukti yang digunakan untuk mensabitkan kesalahan adalah salah dan bagi saya itu masalah,” katanya. – AFP