Kes kekal sifar, belum ada yang sembuh

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Negara Brunei Darussalam, hari ini, mencatatkan sifar jangkitan baharu COVID-19 dan jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kekal 138 orang.

Pada masa yang sama, tidak ada kes sembuh daripada COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal 116 orang dan jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini sebanyak 21 kes di mana dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan serta selebihnya dalam keadaan yang baik.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa mengenai kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa satu kes yang sedemikian telah disahkan manakala tidak ada kes baharu dilaporkan.

Ini membawa jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini kekal 18 orang di mana 12 orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut.

Beliau turut menyatakan bahawa pada hari ini, seramai 139 orang sedang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,408 orang.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 273 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 11,906 ujian.

Yang Berhormat Dato seterusnya menasihatkan orang ramai yang melawat pesakit di hospital-hospital supaya mengikut peraturan dan arahan yang telah ditetapkan dan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di hospital-hospital, mana-mana pelawat atau penjaga yang kurang sihat tidak dibenarkan masuk ke hospital, manakala mereka yang berisiko tinggi adalah tidak digalakkan melawat pesakit.

Yang Berhormat Dato menyatakan lagi, “Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak melawat secara beramai-ramai dan untuk mengehadkan tempoh masa lawatan.” Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.