Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes kematian di tempat kerja meningkat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Statistik keselamatan pekerjaan dalam sektor pembinaan, yang sejak 2013 mencatatkan 52 kematian akibat kerja daripada 85 kes keseluruhan, iaitu sekitar 61 peratus daripada jumlah kematian di tempat kerja di negara ini. 
     
    Antara punca utama termasuk jatuh dari tempat tinggi, terkena objek, kecederaan akibat himpitan serta renjatan elektrik.
     
    Sektor pembinaan juga terus mencatatkan bilangan kes kecederaan boleh dilaporkan tertinggi, iaitu 48 kes pada 2024 dan 54 kes pada 2025, mencerminkan peningkatan 12.5 peratus. Data turut menunjukkan bahawa hampir 60 peratus daripada kes dilaporkan melibatkan warga Indonesia dan Bangladesh, yang mewakili tenaga kerja signifikan dalam sektor berisiko tinggi tersebut.
     
    Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Haji Muhsin bin Haji Ahmad semasa acara tamat Kursus Pertolongan Cemas di Tempat Kerja di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SHENA, yang dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam.
     
    Acara turut dihadiri oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Achmad Ubaedillah, ahli-ahli pengurusan kanan SHENA, pegawai-pegawai Kedutaan Besar Republik Indonesia, wakil-wakil syarikat yang menyertai program tersebut serta penyedia latihan berkenaan.
     
    Dalam ucapannya, Haji Muhsin turut menekankan bahawa program CSR ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, khususnya dalam kalangan pekerja asing dalam industri pembinaan. 
     
    Kursus Pertolongan Cemas di Tempat Kerja ini dilaksanakan dalam tiga sesi iaitu pada 23 hingga 24 Oktober, 1 hingga 2 November dan 8 hingga 9 November, dan dikendalikan oleh SavingLife Resources Company, selaku penyedia latihan yang diluluskan di bawah SHENA. Program berkenaan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta latihan pertolongan cemas bagi menangani kecederaan serius di tapak kerja.

     
    Haji Muhsin turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia atas kerjasama padu dalam menjayakan program ini dan kepada majikan-majikan yang terlibat kerana mengutamakan keselamatan pekerja. Beliau seterusnya menggalakkan syarikat untuk terus menyediakan latihan seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Pertolongan Cemas), 2021.
     
    Beliau menutup ucapan dengan mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang kini bergelar pengendali pertolongan cemas bertauliah, yang bukan sahaja mampu bertindak pantas dalam kecemasan di tempat kerja tetapi juga berpotensi menyelamatkan nyawa rakan sekerja dan masyarakat sekeliling.
     
    Haji Muhsin semasa menyampaikan ucapan semasa acara tamat Kursus Pertolongan Cemas di Tempat Kerja, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Haji Muhsin menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda