Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Mahkamah Majistret, kelmarin, telah menangguhkan kes melibatkan pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan kematian kanak-kanak berusia 16 bulan sehingga 28 Oktober.
Ketua Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menangguhkan kes tersebut selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Fitri binti Kiprawi.
Pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa kerana barang kes telah dihantar bagi analisis DNA. Mohammad Helmi bin Serabah, 39, dituduh membunuh kanak-kanak berkenaan pada petang 26 Ogos di sebuah rumah di Jalan Masjid Salambigar, RPN Kampung Lambak Kanan.
Sementara itu, Ampuan Roslinah binti Ampuan Abdul Rahman berdepan tuduhan menyerang kanak-kanak tersebut di rumah sama antara 19 dan 24 Ogos yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal. Pihak polis melancarkan siasatan sebaik dimaklumkan oleh pihak perubatan pada 9:38 malam, 26 Ogos.
Mohammad Helmi ditahan pada 7:35 malam dan Ampuan Roslinah pada 10:30 malam keesokan harinya. Mohammad Helmi berdepan hukuman mati sementara itu Ampuan Roslinah boleh dikenakan denda $20,000 dan penjara 10 tahun.