Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes keseluruhan COVID-19 hampir 7,000

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Jumlah kes keseluruhan jangkitan COVID-19 di negara ini menghampiri angka 7,000 apabila 137 kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlahnya seramai 6,950 orang.

    Terdapat 18 lagi tambahan kes-kes baharu kepada tujuh kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat beberapa kes positif sebelumnya.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada sidang media harian yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurutnya, terdapat empat kluster baharu dikesan iaitu Kluster 6090 yang mengandungi lapan kes; Kluster 6679 ada enam kes; Kluster 4406 terdiri daripada lima kes; dan Kluster 6874 yang mengandungi lima kes.

    Beliau turut mengisytiharkan bahawa satu kluster telah tamat kerana tidak ada kes dikesan selama 28 hari iaitu Kluster Champion 7 – Posh Endurance, menjadikan kluster aktif kepada 116. Sementara itu, terdapat 95 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenalpasti sumber jangkitan.

    “Dalam pada itu, 140 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 4,722 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,181 kes,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Dalam kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, beliau menyatakan enam kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.

    “Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” kata beliau.
    Sementara itu, 36 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

    Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,791 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 350,236 ujian.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda