Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes keseluruhan COVID-19 kekal 147, satu aktif

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu COVID-19, di mana setakat jam 12 tengah hari tadi, kes keseluruhan kekal seramai 147 orang dan satu kes yang masih aktif.

    Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (162 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah enam kes.

    Menurut Kementerian Kesihatan dalam pengemaskinian status terkini situasi jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini, sejumlah 311 orang kini sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 6,963 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

    Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 650 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 63,896 ujian. Kementerian Kesihatan juga memaklumkan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-CoV-2 (ujian swab) terutama sekali mereka yang ingin membuat perjalanan keluar negara, hendaklah menjalankan ujian saringan SARS-CoV-2 sekurang-kurangnya tiga ke lima hari sebelum tarikh penerbangan mereka tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

    Hasil bagi ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan ujian tersebut bagi perjalanan keluar negara boleh mendapatkannya di lokasi dan waktu tertentu. Di Pusat Kesihatan Berakas, hari beroperasi ialah setiap hari, pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 4 petang; dan setiap hari Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam pada jam 2 hingga 5:30 petang. Di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) juga beroperasi setiap hari (tutup pada hari kelepasan awam), dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn, menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda