Kes koronavirus cecah tiga juta di India

NEW DELHI, 23 OGOS – Kes koronavirus yang disahkan di India mencecah tiga juta hari ini dengan hampir 70,000 jangkitan baharu, tatkala penyakit itu terus meningkat di negara yang mempunyai jumlah penduduk kedua paling ramai di dunia.

Kementerian kesihatan berkata 69,239 kes dikesan hari ini, dengan 912 kematian membawa jumlah korban kepada 56,706.

Bagaimanapun, ramai pakar berkata jumlah sebenar jangkitan adalah jauh lebih tnggi.

Pihak berkuasa di New Delhi berkata pada minggu lalu bahawa satu kajian antibodi di bandar itu mencadangkan lebih satu suku penduduk ibu negara telah dijangkiti.

Kerajaan Perdana Menteri India Narendra Modi mengenakan salah satu sekatan paling ketat di dunia pada akhir Mac yang telah dilonggarkan dalam beberapa minggu ini.

Namun epidemik itu telah menjejas teruk ekonomi ketiga terbesar di Asia, dan puluhan juta penduduk telah kehilangan pekerjaan dan mata pencarian mereka.

Beberapa negeri dan bandar telah mengenakan sekatan setempat, termasuk Haryana dan Punjab, di mana kes telah meningkat dalam beberapa minggu ini.

Pusat penularan sebelum ini adalah di New Delhi dan Mumbai, tempat tinggal kepada beberapa setinggan terbesar di dunia.

“Buat masa sekarang, kami melihat peningkatan mendadak dalam kes keseluruhan di India,” kata K Srinath Reddy, daripada Yayasan Kesihatan Awam India. – AFP