MANILA, 13 OGOS – Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) hari ini berkata bahawa kes leptospirosis terus meningkat selepas banjir teruk pada 24 Julai yang melanda Metro Manila dan wilayah-wilayah berdekatan.
Dari Januari hingga 3 Ogos, DOH mencatatkan 2,115 kes dan 224 kematian. Data epidemiologi terkini merekodkan 255 kes leptospirosis baharu dari 21 Julai hingga 3 Ogos, 17 peratus lebih tinggi daripada 217 kes yang direkodkan dari 7 hingga 20 Julai.
“Ahli epidemiologi DOH terus berhati-hati dalam mentafsir trend kerana mungkin ada laporan-laporan lewat,” kata Penolong Setiausaha DOH, Albert Domingo.
Tempoh inkubasi leptospirosis antara dua hingga 30 hari, dengan purata pemerhatian klinikal antara tujuh hingga 14 hari.
Sekurang-kurangnya dua hospital kerajaan di Metro Manila melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah pesakit leptospirosis, memaksa mereka menubuhkan wad tambahan untuk menempatkan lebih ramai pesakit, terutama mereka yang memerlukan dialisis.
Leptospirosis adalah penyakit bakteria yang menyerang manusia dan haiwan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), manusia dijangkiti melalui sentuhan langsung dengan air kencing haiwan yang dijangkiti atau dengan persekitaran yang tercemar air kencing.
Bakteria memasuki badan melalui luka atau lelasan pada kulit atau selaput lendir mulut, hidung dan mata, menurut WHO.
Pada 24 Julai, Metro Manila dan banyak bahagian negara itu berada di bawah air akibat hujan berterusan yang dibawa oleh taufan dan monsun barat daya yang dipertingkatkan. – Xinhua
