Tuesday, April 8, 2025
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes mpox dikesan di United Kingdom

    LONDON, 7 APRIL – Pihak berkuasa kesihatan United Kingdom hari ini telah mengesahkan satu kes jangkitan virus mpox varian clade 1b telah dikesan di timur laut England, melibatkan seorang individu yang tiada sejarah perjalanan atau kontak dengan mana-mana pesakit.

    Dalam kenyataan, Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan pesakit terbabit, memandangkan semua kes terdahulu mempunyai kaitan dengan kawasan terjejas atau kontak rapat.

    Pengarah insiden mpox UKHSA, Gillian Armstrong, berkata risiko kepada orang awam kekal rendah meskipun kes terbaharu tidak dapat dijelaskan sumbernya.

    Mpox merupakan penyakit berjangkit berkaitan virus cacar dan terbahagi kepada dua subjenis utama, clade 1, yang lazimnya menjangkiti kanak-kanak, dan clade 2.

    Gejala penyakit ini termasuk demam, ruam kulit atau lepuh berisi nanah, bengkak kelenjar limfa dan sakit badan.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam antarabangsa pada tahun 2022 susulan penularan varian clade 2, yang ketika itu banyak menyerang golongan lelaki homoseksual dan biseksual di Eropah dan Amerika Syarikat.

    Program vaksinasi dan kempen kesedaran membantu mengurangkan jumlah jangkitan secara global dan WHO turut menarik balik status kecemasan tersebut pada Mei 2023 selepas mencatatkan 140 kematian daripada sekitar 87,400 kes.

    Pada 2024, wabak serentak melibatkan clade 1 dan clade 1b, satu varian baharu, merebak luas di Republik Demokratik Congo, dan telah dikesan di negara jiran seperti Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda, termasuk kes import di Sweden, India, Thailand, Jerman dan UK.

    Menurut UKHSA, kurang daripada 10 kes mpox clade 1b telah disahkan di England antara Oktober tahun lalu hingga 13 Februari lalu. – AFP

    Penyakit mpox yang telah menjangkiti tangan salah seorang pesakit, pada 6 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda