Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes mpox melonjak di Australia

    SYDNEY, 27 SEPT – Australia telah menyaksikan peningkatan pesat dalam kes mpox dalam tempoh tiga bulan lalu, dengan seorang pakar kesihatan bimbang bahawa kadar vaksinasi yang rendah mungkin menyebabkan lonjakan kes di luar bandar.

    Setakat tahun ini, 737 kes telah direkodkan, dengan sebahagian besar kes berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Sebagai perbandingan, terdapat 26 kes pada tahun lepas dan 144 kes pada tahun 2022. Sebahagian besar kes baharu tahun ini berlaku di negeri-negeri di tenggara dan hanya dua kes dilaporkan melibatkan wanita.

    Seorang jurucakap Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Warga Emas Australia memberitahu AFP bahawa kes telah meningkat sejak Mei tahun ini.

    Australia telah bertindak balas dengan menarik balik sekatan ke atas siapa yang boleh divaksin, membenarkan ‘orang dari semua peringkat umur yang berisiko terdedah kepada mpox’ untuk layak menerima vaksin.

    Matthew Shields, seorang doktor kesihatan seksual dan pengamal perubatan di Sydney, memberitahu penyiar kebangsaan ABC bahawa virus itu dikesan di luar kawasan metro, di mana kadar vaksinasi adalah lebih rendah. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda