Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes Musang King: Tarikh perbicaraan akan ditetapkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Kes membabitkan sindiket keluarga pengedar dadah digelar ‘Musang King’ sedang menunggu tarikh perbicaraan untuk ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.

    Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar hari ini memberi keputusan dalam siasatan awal bagi dua daripada pertuduhan yang membawa hukuman mati terhadap kesemua defendan.

    Selepas menjalankan siasatan membabitkan 237 dokumen dan 51 barang rampasan, mahkamah mengambil maklum para defendan akan membuat pembelaan semasa di Mahkamah Tinggi.

    Defendan, Ahmad bin Haji Tamit dan isterinya Maskunah binti Wahab, anak mereka Isamuddin, Mohammad Saifuddin dan Siti Izzatul Munirah dan suaminya Jakaria bin Ahad didakwa atas dua kesalahan di bawah Bab 27, Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah yang membawa kepada hukuman mati.

    Defendan didakwa memiliki 18.9943 kilogram methamphetamine bagi tujuan pengedaran. Dadah tersebut ditemui di sekitar sebuah rumah di Jalan Junjongan. 

    Tuduhan ke atas mereka termasuk memiliki 532.44 gram methamphetamine  dalam bo-tol. Defendan tinggal di rumah di kawasan itu.

    Isamuddin juga menghadapi satu pertuduhan iaitu memiliki 54.1 gram methamphetamine  di dalam beg plastik hitam di sekitar sebuah rumah di Jalan Junjongan.

    Kesalahan itu membawa hukuman penjara antara 20 dan 30 tahun dengan sebatan mandatori 15 kali sebatan.

    Siti Izzatul Munirah dan Jakaria turut didakwa memiliki hasil jenayah mengikut Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Aset Jenayah 2012 berjumlah $80,000 hingga lebih $100,000.

    Mereka juga didakwa menyembunyikan pemilikan kenderaan dengan mendaftarkannya di bawah nama pihak ketiga.

    Siti Izzatul Munirah juga menghadapi pertuduhan memiliki lebih 50 barang kemas emas yang didakwa daripada hasil jenayah.

    Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana binti Haji Radin, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff dan Pendakwa Khalillah Hussin, Kamal Ariffin Ismail dan Syafina Abdul Hadzid mewakili Pendakwa Raya dalam kes itu.

    Sementara itu, Peguam bela Daud Ismail mewakili Isamuddin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda