PETALING JAYA, 30 MAC – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan kes pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Ignacio Insa Bohigues yang menolak pegawai perlawanan pada aksi Liga Super baru-baru ini akan diputuskan secara adil pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu, Khamis ini.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tiada istilah pilih kasih dalam kes tersebut memandangkan jawatankuasa tersebut dibarisi ahli jawatankuasa berpengalaman dan profesional yang dipimpin pengerusinya Datuk Baljit Singh Sidhu.
“Tidak perlu risau, saya yakin dengan kepimpinan Datuk Baljit dan barisan jawatankuasa beliau kerana semua individu itu berwibawa. Keputusan akan dibuat secara adil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan saingan Liga SupaRimau di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.
Ignacio Insa atau dikenali sebagai Natxo Insa yang merupakan pemain berdarah campuran Malaysia-Sepanyol, bertindak menyerbu dan menolak pegawai perlawanan Noor Azriel Baharudin sejurus tamat aksi Liga Super menentang Perak pada 21 Mac lepas.
Namun, peminat mula mempertikaikan tempoh diambil FAM dalam menjatuhkan hukuman tatkala mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Rabu lepas telah menjatuhkan hukuman kepada beberapa pemain termasuk penyerang import Kelantan FC Jack Hindle yang didapati menolak pengadil secara agresif pada aksi Liga Premier.
Menyedari akan spekulasi berkaitan Natxo dan mutu pengadilan dalam kalangan peminat tempatan, Hamidin menegaskan FAM sentiasa memastikan tiada campur tangan pihak lain atau ‘tangan ghaib’ mengganggu pegawai perlawanan ketika menjalankan tugas.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam menjelaskan kes melibatkan Natxo dibincangkan lebih cepat berbanding kes yang diputuskan sebelum ini. – Bernama