Oleh Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengurangkan hukuman penjara ke atas Haji Mohammad Reduan bin Hussin yang disabit bersalah dalam empat kes pecah rumah dan satu pertuduhan menyebabkan kecederaan di kawasan Kampung Madang antara 2021 hingga 2022.
Hukuman penjara asal 12 tahun tujuh bulan dan enam sebatan dikurangkan kepada lapan tahun dan empat sebatan, selepas memutuskan bahawa hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Perantaraan telah dikira secara salah dan terlalu tinggi.
Haji Mohammad Reduan pada awalnya mengaku tidak bersalah dan dibicarakan bersama dua rakannya sebelum kemudian menukar pengakuan bagi beberapa pertuduhan.
Mahkamah Perantaraan kemudian menjatuhkan hukuman penjara lebih 12 tahun dan enam sebatan, mengambil kira rekod jenayah lampau tertuduh yang mempunyai 21 sabitan berkaitan kecurian, selain keseriusan kesalahan termasuk memecah masuk kediaman dan sebuah sekolah serta menggunakan lastik untuk menyasarkan seorang individu yang cuba menegurnya.
Namun, Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong bersama Hakim Michael Lunn dan Hakim Edward Timothy Starbuck Woolley hari ini menyatakan keputusan terdahulu mengandungi ‘kesilapan aritmetik’ dan memberi penekanan yang tidak wajar kepada satu kes terdahulu yang membabitkan jumlah kesalahan lebih besar.
Mahkamah mendapati pemohon hanya mempunyai empat sabitan pencerobohan rumah, berbanding 17 pertuduhan dalam kes rujukan yang dijadikan asas oleh hakim perbicaraan.
Hakim rayuan itu turut menegur kelewatan hampir dua tahun antara permulaan perbicaraan dan tarikh hukuman, menyifatkan penangguhan berulang kali sebagai ‘tidak diingini’ dan tidak membantu pentadbiran keadilan.
Walaupun mengekalkan sebahagian besar hukuman individu bagi setiap pertuduhan, Mahkamah Rayuan memutuskan hukuman keseluruhan adalah ‘jelas keterlaluan’ dan mengira semula tempoh pemenjaraan yang munasabah.
Mahkamah turut memuji pihak pendakwaan atas hujahan yang adil dan seimbang, setelah mereka sendiri menegaskan bahawa terdapat kesilapan dalam pengiraan hukuman dan bersetuju bahawa tempoh penjara sepatutnya berada dalam lingkungan lapan hingga sembilan tahun.

