OSLO, 16 JUN – Sebuah mahkamah di Norway akan mengumumkan keputusan hari ini berhubung perbicaraan Gjert Ingebrigtsen, yang dituduh melakukan penderaan bertahun-tahun terhadap anaknya, pelari juara Olimpik, Jakob Ingebrigtsen.
Pendakwa raya telah menuntut hukuman penjara dua setengah tahun, manakala pihak pembelaan memohon pembebasan, selepas perbicaraan berlangsung di Mahkamah Daerah Sandnes, barat daya Norway.
Gjert Ingebrigtsen, 59, merupakan jurulatih kepada Jakob, 24, sehingga tahun 2022. Jakob telah memenangi pingat emas Olimpik dalam acara 5,000 meter di Paris pada 2024 dan 1,500 meter di Tokyo pada 2021.
Beliau dituduh melakukan penderaan fizikal dan psikologi terhadap Jakob dan adiknya, Ingrid, 18, dari tahun 2008 hingga 2022.
“Zaman membesar saya sangat dipenuhi dengan ketakutan,” kata Jakob kepada mahkamah semasa perbicaraan.

Sepanjang perbicaraan, beliau merujuk bapanya sebagai “tertuduh” dan memaklumkan bahawa beliau berhenti memanggilnya sebagai “ayah” ketika berumur 11 atau 12 tahun.
“Saya rasa saya tiada kebebasan untuk memilih dan saya tidak dibenarkan menyuarakan pendapat sendiri. Segalanya dikawal dan ditentukan untuk saya. Terlalu banyak manipulasi,” katanya.
Jakob turut mengimbas beberapa kejadian keganasan fizikal, termasuk tamparan dan tendangan ke perut, sebahagiannya berlaku ketika beliau berusia tujuh tahun.
Ingebrigtsen Sr menyifatkan perbicaraan ini sebagai “kes serangan peribadi yang dirancang”.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa dirinya merupakan seorang bapa yang ‘terlalu melindungi’ anak-anak dan memberikan mereka didikan ‘tradisional dan berunsur patriarki’.
Beliau menyatakan hasratnya untuk menyumbang kepada kejayaan anak-anak, namun mendakwa hanya menerima layanan yang tidak tahu berterima kasih sebagai balasan. – AFP