GEORGE TOWN, 6 MEI – Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan urusan jual beli durian secara dalam talian terutama menjelang musim raja buah itu di Pulau Pinang berikutan terdapat kes penipuan membabitkan kes tersebut.
Polis Daerah Timur Laut dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan pihaknya mengesan peningkatan kes penipuan pembelian durian secara dalam talian di daerah itu yang dipercayai didalangi sindiket penipuan.
“Modus operandi sindiket itu ialah mereka akan mengiklankan penjualan durian dengan harga yang murah di media sosial antaranya Facebook dan Instagram.
“Mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut akan berurusan dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp berdasarkan nombor telefon yang tertera pada iklan itu dan mangsa kemudiannya diarahkan klik pada pautan yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ untuk membuat bayaran,” menurut kenyataan itu hari ini. – Bernama