HANOI, 26 JUN – Sebuah mahkamah rayuan Vietnam hari ini telah mengurangkan hukuman penjara terhadap bekas jutawan hartanah dan penerbangan, Trinh Van Quyet, daripada 21 tahun kepada tujuh tahun dalam kes penipuan dan manipulasi pasaran saham bernilai AS$146 juta.
Quyet, yang memiliki empayar FLC yang terdiri daripada pusat peranginan mewah, padang golf dan syarikat penerbangan tambang rendah Bamboo Airways, dijatuhi hukuman penjara panjang pada Ogos lalu selepas perbicaraan.
Quyet dan 49 yang lain, termasuk dua adik perempuannya dan empat pegawai bursa saham telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan penipuan, manipulasi pasaran, salah guna kuasa dan penyebaran maklumat palsu berkaitan pasaran saham.
Selepas perbicaraan rayuan selama 10 hari di Hanoi, mahkamah membatalkan hukuman tiga tahun Quyet bagi kesalahan manipulasi pasaran dan mengurangkan hukuman 18 tahun atas kesalahan penipuan kepada tujuh tahun.
Mahkamah juga mengurangkan hukuman penjara terhadap beberapa defendan lain, hari ini.
Keputusan mahkamah itu dibuat selepas keluarga Quyet membayar pampasan hampir AS$96 juta bagi menampung kerugian mangsa.
Menurut kertas pertuduhan pada Ogos lalu, Quyet menubuhkan beberapa firma broker saham dan mendaftarkan puluhan ahli keluarganya kononnya untuk menjalankan urus niaga saham.
Mahkamah menyatakan terdapat 25,000 mangsa dalam kes penipuan itu dan Quyet mengaut keuntungan haram lebih AS$146 juta antara tahun 2017 hingga 2022.
Mahkamah rayuan turut menyatakan mereka menerima 5,000 surat memohon pengurangan hukuman terhadap Quyet daripada mangsa, kakitangan FLC, beberapa persatuan dan pihak berkuasa tempatan. – AFP


