ISTANBUL, 15 OGOS – Gaza kini mencatatkan peningkatan mendadak kes penyakit kulit berikutan gelombang haba yang melanda wilayah itu, kata Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya kelmarin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau berkata suhu yang melonjak tinggi, ditambah dengan kekurangan bekalan air minuman yang serius, meningkatkan risiko kesihatan kepada penduduk di semua peringkat umur di seluruh Semenanjung Gaza. Tambah beliau, hospital-hospital turut menghadapi kesukaran mengendalikan peralatan perubatan penting kerana penghantaran bahan api telah dihentikan, sekali gus mengancam nyawa pesakit dan mangsa yang cedera.
Abu Salmiya menegaskan hospital kini berada pada tahap kritikal dan kegagalan mengoperasikan peralatan penyelamat nyawa boleh membawa bencana besar.
Beliau juga berkata, tentera Israel terus menyasarkan sekolah, hospital dan khemah pelarian, menyebabkan krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing dari hari ke hari. – Bernama







