Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Video yang ditularkan menerusi pelbagai platform media sosial termasuk WhatsApp mengenai pergaduhan dalam kalangan pekerja yang memakai pakaian coverall berwarna jingga di dalam kantin pekerja adalah berasal dari negara lain.
Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian dalam kenyataannya menekankan bahawa dakwaan ia telah berlaku di Pulau Muara Besar adalah palsu dan berniat jahat.
Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat atau mesej yang tidak disahkan menerusi platform media sosial kerana menyebarkan maklumat palsu secara lisan, bertulis atau apa-apa kaedah lain boleh menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam.
Ia menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 34, Akta Ketenteraman Awam, Bab 148, boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda $3,000, jika didapati bersalah.