BEIJING, 27 APRIL – China telah mengesahkan kes pertama virus selesema burung H3N8 pada manusia, tetapi pihak berkuasa kesihatan berkata terdapat risiko rendah penularan meluas di kalangan orang ramai.
H3N8 diketahui telah terjadi sejak 2002 selepas pertama kali muncul dalam unggas air Amerika Utara. Ia kemudian menjangkiti kuda, anjing dan anjing laut, tetapi tidak pernah dikesan pada manusia sebelum ini.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) China hari ini berkata seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang tinggal di wilayah Henan diuji positif selepas dimasukkan ke hospital awal bulan ini dengan demam dan gejala lain.
Keluarga budak lelaki itu menternak ayam di rumah dan tinggal di kawasan yang dihuni oleh itik liar, kata NHC dalam satu kenyataan.
Budak itu dijangkiti secara langsung oleh burung dan virus itu tidak didapati mempunyai keupayaan untuk menjangkiti manusia secara berkesan,” kata suruhanjaya itu.
Ia menambah bahawa ujian terhadap kontak terdekat budak lelaki itu mendapati ‘tiada keluarbiasaan’.
NHC berkata kes budak lelaki itu adalah ‘transmisi rentas spesies sekali sahaja, dan risiko penularan berskala besar adalah rendah’.
Mereka memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi burung yang mati atau sakit dan mendapatkan rawatan segera untuk demam atau gejala pernafasan. – AFP
