LONDON, 1 MAC – Kes pertama varian COVID-19 Brazil dikenal pasti di United Kingdom (UK) dan disahkan semalam.
Kesihatan Awam England (PHE) menyatakan sebanyak enam kes varian berkenaan yang pertama kali dikesan di bandar Manaus dikenal pasti di Britain, tiga di England dan tiga di Scotland.
Ketua kesihatan bimbang strain baharu itu boleh merebak dengan lebih cepat dan kurang memberi tindak balas terhadap vaksin yang sedia ada.
Dua kes pertama varian P.1 berasal dari satu isi rumah di South Gloucestershire dengan sejarah perjalanan ke Brazil, tetapi yang ketiga tidak berkaitan.
Pihak berkuasa meminta sesiapa yang menjalani ujian pada 12 atau 13 Februari lalu dan yang tidak mendapat keputusan atau mempunyai kad pendaftaran ujian yang belum lengkap supaya segera tampil.
Pengarah tindak balas strategik PHE untuk COVID-19, Dr Susan Hopkins berkata pihaknya sudah mengenal pasti kes itu dan berterima kasih terhadap kemampuan UK kerana berjaya menemui varian baharu serta dapat mengambil tindakan dengan cepat.
“Yang penting adalah, tidak kira apa variannya, ia tersebar dengan cara yang sama dan langkah untuk menghentikan penyebarannya tidak berubah,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah dimaklumkan mengenai kes itu, yang diklasifikasikan ‘diberi perhatian’ kerana ia berkongsi mutasi utama dengan varian yang dikesan di Afrika Selatan.
Apa yang dibimbangkan sekarang ialah vaksin yang ada mungkin kurang berkesan terhadap strain Manaus. – AFP
