Kes positif Indonesia terus meningkat kepada 108,376

JAKARTA, 31 JULAI – Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat kepada 108,376 kes, iaitu tambahan sebanyak 2,040 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 60,739 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 73 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di republik itu kini 5,131 orang.

Bagi tempoh 24 jam itu, provinsi Jakarta mencatatkan kes positif baharu tertinggi iaitu 430 kes, diikuti Jawa Timur (317), Jawa Tengah (235) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama