Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan kes seorang lelaki tempatan yang berdepan pertuduhan menyebabkan kecederaan parah untuk dipindahkan ke Mahkamah Perantaraan.
Mustapa bin Embran, 48, didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki dengan memukul kepala dan tangannya menggunakan batang besi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Rotan Getah, Rancangan Perumahan Negara Teres Lumut, pada 21 Disember 2016 kira-kira jam 4:15 petang.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman mengemukakan tuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga 15 tahun dan juga sebatan.
Memandangkan kes tertuduh dipindahkan, Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menarik balik ikat jamin yang diberi kepada tertuduh pada 13 Februari oleh Mahkamah Majistret dan memerintahkannya untuk ditahan reman di Penjara Jerudong.
Tertuduh boleh membuat permohonan ikat jamin dalam sebutan di Mahkamah Perantaraan kelak, kata Majistret Kanan Haji Nabil Daraina.