BENGALURU, 15 JAN – Seramai 49 lelaki telah ditahan di India atas dakwaan melakukan penderaan seksual secara berulang terhadap seorang remaja selama beberapa tahun, menurut kenyataan polis hari ini.
Mangsa, seorang remaja berusia 18 tahun berkata kira-kira 60 lelaki menderanya secara seksual di negeri asalnya di selatan Kerala sejak dia berusia 13 tahun.
“Empat puluh sembilan individu telah ditahan,” kata pegawai polis daerah Pathanamthitta, Nandakumar S, kepada AFP.
Kesemua suspek dikenal pasti sebagai individu yang dikenali mangsa, termasuk jiran dan rakan keluarga.
Rajeev N, seorang peguam yang mengetuai jawatankuasa kebajikan kanak-kanak tempatan, memberitahu AFP bahawa ibu bapa mangsa ‘tidak menyedari pengalaman buruk yang dialami anak mereka.’
“Mangsa kini tidak dibenarkan bertemu media dan hanya pihak polis dibenarkan menemuinya untuk merekodkan kenyataan,” tambahnya.
Menurut laporan akhbar The Indian Express, salah seorang suspek telah memeras ugut mangsa dengan video yang dirakam ketika mereka mempunyai ‘hubungan fizikal’.
Ancaman itu menyebabkan ramai rakan mangsa turut menyerang secara seksual.
Siasatan polis mendapati mangsa telah dirogol secara berkumpulan sekurang-kurangnya lima kali, termasuk sekali di sebuah hospital tempatan.
India melaporkan secara purata hampir 90 kes rogol setiap hari pada tahun 2022, di negara yang mempunyai populasi seramai 1.4 bilion orang. Namun, ramai mangsa dipercayai tidak melaporkan kejadian tersebut.
Sementara itu, sebuah mahkamah di Kolkata dijangka mengeluarkan keputusan terhadap seorang lelaki yang dituduh merogol dan membunuh seorang doktor berusia 31 tahun pada minggu ini. – AFP