Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes rompakan: Bekas guru besar kekal dihukum mati

    BANGKOK, 28 APRIL – Mahkamah Tinggi Thailand hari ini mengekalkan hukuman mati bagi bekas guru besar sekolah rendah yang disabitkan kesalahan membunuh tiga orang, termasuk seorang anak damit, semasa rompakan bersenjata di kedai emas pada 2020.

    Mahkamah memutuskan pada Rabu bahawa Prasitthichai Khaewkao tidak layak mendapatkan pengurangan bagi hukuman asalnya, menyatakan bahawa penembakan di kompleks membeli-belah di wilayah Lopburi adalah ‘melampau dan tidak berperikemanusiaan,’ dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. Empat orang cedera dalam serangan itu dan seorang jurujual, seorang pengawal keselamatan dan budak lelaki berusia 2 tahun terbunuh.

    Prasitthichai didapati bersalah pada Ogos 2020 dan dijatuhkan hukuman mati atas dakwaan pembunuhan dengan niat, membunuh ketika melakukan jenayah lain dan membawa senjata secara haram. Mahkamah Rayuan juga mengekalkan hukuman mati pada 2021.

    Mahkamah Tinggi dalam fakta kes mengatakan defendan sebagai seorang guru dan guru besar, seharusnya berkelakuan sebagai rol model terbaik bagi pelajar, sebaliknya dia melakukan jenayah berat. Untuk itu, dia tidak layak untuk mendapatkan pengurangan hukuman seperti yang dirayunya.

    Kejadian tembakan itu disiarkan secara langsung dan mengejutkan seluruh negara. Ia menunjukkan seorang lelaki dengan topeng hitam dan seluar samaran, membawa beg galas dan pistol memasuki kompleks membeli-belah Robinson di Lopburi. Dia kemudiannya melepaskan tembakan dengan kanak-kanak adalah yang pertama maut.Dia seterusnya mencuri rantai emas sebelum melarikan diri namun berjaya ditangkap beberapa jam kemudiannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda