Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes saman Siti Nordiana terhadap lima sekawan berakhir dengan bermaaf-maafan

    Selepas dua tahun turun naik mahkamah, saman fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan penyanyi Siti Nordiana terhadap lima sekawan berakhir apabila kesemua mereka saling bermaaf-maafan.

    Memetik dari mStar, Peguam Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin berkata, perbicaraan kes itu tidak diteruskan selepas terdapat perbincangan di antara penyanyi itu selaku plaintif dan lima defendan untuk menyelesaikan isu di antara mereka dengan baik.

    Abang Azlan berkata, persetujuan tersebut adalah mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan iaitu kedua-dua pihak bersetuju ia dilaksanakan di hadapan Hakim iaitu Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan secara terbuka.

    Katanya, permohonan maaf tersebut dibuat atas dasar persahabatan yang telah terjalin sebelum ini.

    “Kami berharap agar persengketaan terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak berulang lagi,” katanya di hadapan Joh Lee.

    Sebelum persidangan tamat, Joh Lee sempat menitipkan pesanan supaya selepas ini semua pihak lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan atau ucapan yang dikeluarkan.

    Plaintif juga tidak ada kebebasan memfailkan semua tindakan saman terhadap defendan.

    Dalam pada itu, Siti Nordiana atau Nana, 39, turut membuat permohonan maaf kepada lima individu berkenaan selain menyatakan dia telah memaafkan semua tindakan mereka sebelum ini.

    Lima sekawan iaitu penyanyi Lan Solo, Syura Badron, Nur Sheila, Sam Musyadzafar dan Raziah Ahmad kemudiannya membuat permohonan maaf selain memaafkan Siti Nordiana di hadapan hakim.

    Isu membabitkan penyanyi Siti Nordiana bersama lima sekawan termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura Badron bermula apabila selebriti tersebut memfailkan saman berjumlah RM2.5 juta pada 3 Ogos 2021.

    Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021 di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, dengan menamakan Lan Solo, 36, isterinya Nur Sheila dan Syura, 35, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

    Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 42.

    Dalam saman tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

    Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah.

    Untuk rekod, kontroversi tercetus selepas penyanyi Lan Solo dan Syura membuat pendedahan mengejutkan berkaitan konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana menerusi sesi Instagram live pada 20 Julai 2021. – Agensi

    Siti Nurdiana, Lan Solo, isterinya Nur Sheila, dan Syura Badron ketika hadir di mahkamah pada pagi hari ini. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda