PHNOM PENH, 4 OGOS – Seorang gadis berusia 16 tahun dari wilayah Svay Rieng di tenggara Kemboja disahkan menghidap selesema burung H5N1, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada sembilan sejak awal 2024, kata kenyataan Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan kelmarin.
“Keputusan makmal dari Institut Kesihatan Awam Negara menunjukkan kelmarin bahawa gadis itu positif virus H5N1,” kata kenyataan itu.
“Pada masa ini, pesakit berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan rapi daripada pasukan doktor.”
Pesakit itu, yang tinggal di perkampungan Chamkar Leav daerah Chantrea, mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas, kata kenyataan itu.
“Menurut siasatan, kira-kira empat hari sebelum gadis itu jatuh sakit, sebanyak sembilan ekor ayam dan itik di kampung dan di rumahnya telah mati.
“Keluarga pesakit telah memasak haiwan itu untuk dijadikan makanan, dan gadis itu mempunyai hubungan langsung dengan ayam yang mati,” kata kenyataan itu.
Pihak berkuasa kesihatan sedang menyiasat punca jangkitan dan sedang memeriksa sebarang kes yang disyaki atau orang yang pernah berhubung dengan mangsa bagi mencegah penularan wabak dalam komuniti, tambahnya.
Antara sembilan kes manusia yang dijangkiti selesema burung H5N1 setakat tahun ini ialah lapan daripadanya kanak-kanak, salah seorang daripadanya meninggal dunia, dan seorang dewasa. Semua pesakit dilaporkan mempunyai sejarah terdedah kepada ayam yang sakit atau mati sebelum mereka jatuh sakit. – Xinhua