Kes serang remaja didengar 6 Julai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Mahkamah Majistret hari ini menyerahkan kes menikam seorang remaja lelaki kepada Mahkamah Perantaraan untuk didengarkan pada 6 Julai nanti.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali mendakwa Mohammad Abdul Mutalip bin Minudin, 34, telah menyerang seorang lelaki berusia 16 tahun dengan menikamnya dua kali di perut dan dua kali di bahagian bawah belakang sebelah kiri menggunakan instrumen pin ujian elektrik di sebuah rumah di Kampong Kupang, Daerah Tutong pada pukul 5 pagi pada 20 Mei 2020.

Ia merupakan satu kesalahan yang kemungkinan boleh menyebabkan kematian yang mana boleh dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun berserta sebatan.

Kes berkenaan didengarkan oleh Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman.