ISLAMABAD, 12 SEPT – Lima kanak-kanak Britain-Pakistan yang dibawa ke Pakistan bersama pasangan buruan yang dikehendaki polis berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Britain hadir pada perbicaraan tahanan hari ini, kata polis.
Polis Surrey di Britain berkata minggu lalu bahawa kebajikan lima kanak-kanak itu adalah ‘keutamaan’ selepas Sara Sharif ditemui mati dengan pelbagai kecederaan di rumah mereka pada Ogos.
Mereka percaya Urfan Sharif, 41, pasangannya Beinash Batool, 29, dan abangnya Faisal Malik, 28, melarikan diri ke Pakistan bersama kanak-kanak berusia antara satu dan 13 tahun sebelum mayat Sara ditemui, mencetuskan pemburuan antarabangsa.
Kanak-kanak itu ditemui di rumah bapa Sharif di Jhelum, sekitar 120 kilometer timur ibu negara Pakistan, selepas polis menerima maklumat bahawa pasangan itu bersembunyi di sana.
“Kami telah menjalankan siasatan dan serbuan untuk beberapa ketika dan akhirnya berjaya mendapatkan semula kanak-kanak itu semalam,” kata Mudassar Khan, jurucakap polis Jhelum kepada AFP.
Polis Pakistan masih menyiasat berapa lama kanak-kanak itu berada di dalam rumah ketika pencarian Sharif dan Batool diteruskan. Rumah tempat kanak-kanak ditemui sebaliknya kosong.
Kanak-kanak itu dihadapkan ke mahkamah hari ini bagi menentukan hak penjagaan.
“Kami tidak akan membicarakan kanak-kanak itu,” kata Khan.
“Mereka tidak bersalah dalam semua hal ini dan mungkin sedang berada dalam ketakutan.” – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P11-3A-AP_13092023.jpg)