COPENHAGEN, 24 MAC – Kanak-kanak di bawah umur 15 tahun menyumbang 4.3 peratus daripada kes baharu dan kes berulang tuberkulosis (TB) di rantau Eropah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2023, meningkat 10 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.
Lebih 172,000 orang dilaporkan menghidap TB baru dan berulang di 53 negara, termasuk beberapa negara di Asia Tengah yang berada di bawah wilayah WHO Eropah.
Jumlah itu kekal hampir sama dengan tahun 2022, tetapi di negara Kesatuan Eropah (EU) dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), hampir 37,000 kes TB didiagnosis meningkat sebanyak 2,000 kes berbanding tahun sebelumnya, menurut WHO Eropah dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).
Kanak-kanak di bawah umur 15 tahun turut mencatat 4.3 peratus daripada keseluruhan kes TB di EU/EEA, menandakan peningkatan bagi tahun ketiga berturut-turut, menurut kenyataan agensi kesihatan tersebut.
Laporan itu menunjukkan bahawa penularan TB ‘masih berterusan’ di rantau itu, dengan WHO dan ECDC menekankan bahawa langkah kesihatan awam yang segera diperlukan untuk mengawal dan mengurangkan beban penyakit tersebut. “Menamatkan TB bukan sekadar impian – ia adalah pilihan,” kata Pengarah Serantau WHO, Hans Kluge.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun sebelum pemotongan terbaru dalam bantuan pembangunan antarabangsa, dunia sudah menghadapi kekurangan dana sebanyak AS$11 bilion untuk menangani wabak TB secara global.
Sementara itu, Pengarah ECDC, Pamela Rendi-Wagner, menegaskan bahawa ‘Eropah perlu memperbaharui fokus terhadap pencegahan serta rawatan yang tepat pada masanya dan berkesan’ bagi menangani penyakit itu. Agensi kesihatan itu juga memberi amaran bahawa Multi Drug Resistant TB (MDR-TB) masih menjadi cabaran besar di rantau itu. – AFP
