Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes TB menurun, namun dana masih kritikal – WHO

    GENEVA, 13 NOV – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kemajuan dalam usaha memerangi penyakit tuberkulosis (TB).

    Dalam kenyataan di Geneva kelmarin, badan dunia itu berkata jumlah kes baharu yang direkodkan tahun lalu menurun buat kali pertama sejak 2020, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). Namun, WHO memberi amaran bahawa pembatalan dana bantuan boleh menjejaskan perkembangan positif itu.

    Menurut laporan, sekitar 10.7 juta orang dijangkiti TB pada 2024, iaitu penurunan satu peratus berbanding tahun sebelumnya. Kadar insiden iaitu jumlah jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk, turut menurun sebanyak 1.7 peratus. TB kekal antara 10 punca utama kematian di seluruh dunia. 

    Berdasarkan laporan tahunan TB WHO, seramai 1.23 juta orang meninggal dunia akibat penyakit itu tahun lalu.

    Di Eropah, jumlah kematian tahunan akibat TB menurun sebanyak 49 peratus sejak 2015, menurut laporan berkenaan. Penurunan yang hampir sama turut dicatatkan di Afrika. 

    “Tetapi kemajuan bukan bermaksud kemenangan,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

    Pandemik COVID-19 menyebabkan kemunduran dalam proses diagnosis dan rawatan, dan WHO memberi amaran bahawa banyak kawasan tidak mampu mencapai sasaran pembasmian TB.

    Lebih separuh kes baharu yang direkodkan pada 2024 melibatkan lima negara iaitu India, Indonesia, Filipina, China dan Pakistan.

    Pembiayaan untuk pencegahan, pengesanan dan rawatan pula terbantut sejak 2020. Tahun lalu, hanya AS$5.9 bilion dibelanjakan di seluruh dunia, jauh lebih rendah daripada sasaran AS$22 bilion menjelang 2027. – Bernama/dpa

    Foto mikroskop oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS pada 1996 menunjukkan bakteria Mycobacterium tuberculosis, yang menyebabkan penyakit TB. WHO laporkan kes menurun, namun dana masih kritikal. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda