Kes tembak di kedai emas, guru besar dihukum mati

BANGKOK, 27 OGOS – Sebuah mahkamah di Thailand hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang guru besar sekolah rendah yang disabit kesalahan menembak mati tiga orang termasuk seorang kanak-kanak semasa rompakan di kedai emas awal tahun ini.

Mahkamah Jenayah Bangkok mendapati Prasitthichai Khawekao bersalah atas tuduhan membunuh dengan sengaja, membunuh dengan niat jenayah lain, membawa senjata haram dan memiliki senjata perang dalam rompakan pada 9 Januari di sebuah kompleks membeli-belah di Lopburi, kira-kira 145km ke utara Bangkok.

Semasa rompakan, lelaki itu melakukan tembakan rambang, membunuh seorang kerani jualan, seorang pengawal keselamatan dan seorang budak berusia dua tahun serta mencederakan empat lagi yang lain.

Video keselamatan yang disiarkan secara meluas selepas insiden itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam dengan topeng dan seluar penyamaran, membawa beg galas menyilang di dadanya, sepucuk pistol dengan alat penyengap ketika dia memasuki kompleks membeli-belah Robinson Lopburi.

Video dari kamera berasingan di kedai emas itu menunjukkan lelaki itu melepaskan tembakan dan seorang kanak-kanak yang berjalan berpimpin tangan dengan seorang dewasa, tiba-tiba rebah ke lantai. Lelaki itu merampas sejumlah rantai emas bernilai 664,470 bah (AS$21,280) sebelum melarikan diri. Orang awam yang gempar dengan pembunuhan itu mendesak polis untuk menyelesaikan kes tersebut dan mereka berjaya menahan Prasitthichai dalam masa kurang dua minggu.

Semasa satu persidangan media polis selepas penangkapannya, Prasitthichai dibenarkan bercakap dengan wartawan melalui telefon.

Dia memberitahu mereka bahawa dia merancang melakukan rompak beberapa hari sebelum melaksanakannya, didorong masalah peribadi dan kewangan. – AP

Prasittguchai Khaewkao (tengah) tiba di mahkamah di Bangkok, 27 Ogos. Bekas guru besar sekolah rendah yang melakukan rompakan dan membunuh tiga orang di kedai emas awal tahun ini, dijatuhkan hukuman mati. – AP