Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes tembakan sekolah: Remaja dan bapa dituduh membunuh

    WASHINGTON, 6 SEPT – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun telah didakwa kerana menembak mati empat orang di sebuah sekolah Tinggi di Amerika Syarikat (AS), manakala bapanya juga didakwa atas pertuduhan membunuh, kata pihak berkuasa kelmarin, selepas insiden keganasan senjata api terbaharu di negara itu.

    Remaja itu berdepan empat pertuduhan jenayah bunuh selepas didakwa menembak mati dua rakan pelajar, yang juga berumur 14 tahun, serta dua guru di Sekolah Tinggi Apalachee di negeri selatan Georgia baru-baru ini.

    Sembilan orang, kebanyakannya kanak-kanak cedera dalam serangan itu. Pihak berkuasa mengatakan mereka kini dilaporkan sedang pulih.

    Bapa suspek, Colin Gray, 54, telah ditahan dan berdepan empat pertuduhan membunuh tanpa niat, dua pertuduhan membunuh tahap dua dan lapan pertuduhan berkaitan kekejaman terhadap kanak-kanak, menjadikannya ibu bapa AS terbaharu yang menghadapi pertuduhan jenayah selepas seorang kanak-kanak terlibat dalam satu serangan tembakan beramai-ramai.

    Tuduhan tersebut dikenakan selepas Gray secara sedar membenarkan anaknya memiliki senjata, kata pengarah Biro Siasatan, Georgia Chris Hosey pada sidang akhbar.

    Memetik sumber yang tidak dinamakan, CNN melaporkan bahawa senjata yang digunakan dalam tembakan itu – digambarkan sebagai senapang serangan gaya AR 15 – telah dibeli oleh bapanya sebagai hadiah percutian untuk remaja itu.

    GBI turut menyatakan bahawa suspek akan didakwa sebagai orang dewasa. Dia dijadualkan untuk hadir di mahkamah hari ini, dengan lebih banyak pertuduhan akan dikenakan.

    “Siasatan ke atas kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Apalachee masih aktif dan sedang diteruskan,” kata agensi itu dalam catatan di X. – AFP

    Sebuah helikopter perubatan kelihatan di hadapan Sekolah Tinggi Apalachee selepas kejadian tembakan di sekolah itu di Winder, Amerika Syarikat pada 4 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda