Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes tertinggi dalam tempoh empat bulan

    BEIJING, 26 DIS – China kelmarin melaporkan jumlah kes tertinggi jangkitan COVID-19 dalam tempoh empat bulan ketika pegawai bertungkus lumus untuk membendung penularan di beberapa wilayah, termasuk bandar Xi’an di mana jutaan penduduk masih berada di bawah perintah berkurung.

    China, di mana koronavirus pertama kali dikesan pada 2019, berada dalam langkah berjaga-jaga ketika ia bersiap sedia untuk menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari di Beijing.

    Daripada 140 kes jangkitan baharu, 87 adalah jangkitan tempatan, menurut kenyataan yang keluarkan oleh Pesuruhjaya Kesihatan Kebangsaan, berbanding 55 sehari sebelumnya.

    Kebanyakannya adalah di Xi’an, di wilayah barat laut Shannxi, di mana 13 juta penduduk diarah untuk menjalani perintah berkurung sejak Khamis.

    Pada malam Krismas, bandar itu melaporkan jumlah harian tertinggi dalam masa setahun dengan 75 kes domestik, menurut biro kesihatan tempatan kelmarin.

    Ketika China berjaya mengurangkan kes kepada jumlah minimum – hasil strategi Sifar-COVID-19 dengan sekatan sempadan yang ketat, tempoh kuarantin yang lama serta perintah berkurung secara berkala – kes bagaimanapun meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

    Rakaman daripada penyiar CCTV kelmarin menunjukkan barisan panjang di luar pusat ujian Xi’an ketika pegawai berusaha untuk meredakan lonjakan kes.

    Di bawah peraturan ketat perintah berkurung, sejak Khamis semua penduduk di Xi’an hanya dibenarkan menghantar seorang ahli keluarga setiap dua hari untuk membeli barang keperluan. Penduduk memerlukan kebenaran khas daripada majikan atau pihak berkuasa untuk meninggalkan bandar.

    Xi’an mencatatkan 330 kes jangkitan tempatan yang mempunyai gejala sejak kes pertama dilaporkan pada 9 Disember 2021, lebih sedikit berbanding dengan penularan di negara lain di seluruh dunia.- AFP

    Penduduk Xi’an beratur panjang untuk membuat ujian COVID-19 di pusat ujian. China mencatatkan jumlah kes jangkitan tertinggi dalam tempoh empat bulan.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda