PETALING JAYA, 22 OKT – Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Oktober lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berusia 14 tahun itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Remaja itu didakwa membunuh mangsa di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara jam 9.20 hingga jam 9.35 pagi.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan, jika tidak dihukum gantung.
Prosiding dijalankan secara tertutup dan hanya keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di bilik bicara kerana melibatkan kes juvana. Mahkamah menetapkan 21 November untuk sebutan kes.
Terdahulu, remaja lelaki berkenaan tiba di mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi tadi dengan menaiki van polis.
Dalam kejadian 14 Oktober lepas, pelajar perempuan berkenaan ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali oleh remaja lelaki yang juga pelajar di sekolah sama.
Polis menyatakan laporan awal bedah siasat dari Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher. – Bernama


