Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes tinggi berpunca dari kediaman, syarikat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Walaupun kes hari ini menunjukkan jumlah jangkitan yang tinggi berbanding beberapa hari yang lalu, ia adalah disebabkan kes-kes yang berpunca daripada kediaman persendirian dan kontak rapat kes, bukan kes-kes jangkitan yang baru menular.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenai majoriti kes kluster yang dikesan daripada rumah persendirian dan tempat bekerja.

    Menurutnya, keberadaan pesakit positif seperti kluster-kluster syarikat adalah kebanyakannya disebabkan perkumpulan di tempat kediaman mereka tinggal bersama.

    “Jadi apabila mereka yang tinggal di dalam sesuatu kediaman itu banyak berjalan ke tempat-tempat ramai, ia akan menyukarkan pihak kementerian untuk mengawal penularan kes.

    “Sejak akhir-akhir ini hasil daripada pengesanan kontak yang dilakukan terhadap kes positif telah menunjukkan kebanyakan kes yang dikesan adalah disebabkan banyaknya pesakit yang membuat lawatan, melakukan perjalanan ke tempat ramai dan kemudian menjangkiti ramai orang,” katanya.

    Sebab itu, dengan adanya Operasi Pulih ini, katanya, ia diharap akan dapat meringankan beban Kementerian Kesihatan dalam mengawal pergerakan orang ramai.

    “Cuma ia akan mengambil masa seawal-awalnya dua minggu untuk melihat hasil daripada pengawalan ini,” ujarnya lagi.

    Oleh itu, Kementerian Kesihatan masih optimis dengan pengawalan dan sokongan bersepadu semua masyarakat, Insya-Allah kita dapat mengawal, tambahnya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda