Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes tuntutan harta balu Jamaludin Jarjis diteruskan

    KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya hari ini gagal diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

    Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla manakala ibu mentuanya, Aminah Abdullah adalah defendan pertama hingga kelima.

    Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar, yang mewakili Aminah berkata pihak-pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut.

    “Oleh itu, mahkamah memutuskan kes diteruskan dengan perbicaraan dan 9 Oktober ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh bicara,” katanya kepada pemberita selepas prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid hari ini.

    Pada prosiding hari ini, Kalsom diwakili Peguam Syarie Datuk Sulaiman Abdullah.

    Kalsom, 67, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Mekah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan. – Bernama

    Balu kepada Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis Puan Sri Kalsom Ismail (kiri) hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi prosiding kes tuntutan harta sepencarian arwah suaminya yang difailkan beliau terhadap empat anak dan ibu mentuanya. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda